Wednesday, July 9, 2008

Silaj - Bahagian 1

Assalamualaikum wbt.,

Hari ini kita belajar sikit tentang silaj... Artikel dari
http://www.jphpk.gov.my/Malay/Agronomi/Silaj.htm

Selamat membaca...

SILAJ

Silaj adalah makanan ternakan ruminan yang terdiri daripada bahan rufaj yang berkelembapan tinggi di antara 35 % hingga 75 % kandungan air yang diperolehi melalui proses penapaian dan disimpan dalam keadaan kedap udara (anaerobic). Silaj sebagai salah satu sumber bekalan makanan ternakan berkualiti untuk ruminan mempunyai kelebihan berbanding dengan rumput segar dan hay kerana silaj dapat dikeluarkan sepanjang masa, proses pengeluarannya tidak bergantung kepada keadaan cuaca dan dapat dihasilkan daripada berbagai jenis bahan rufaj seperti rumput, batang jagung, pelepah kelapa sawit dan bahan-bahan lain. Silo (bekas simpanan silaj) terdiri daripada berbagai bentuk seperti bunker, stack, tower, tong plastik dan lain-lain. Faktor yang penting ialah bekas yang digunakan seharusnya praktikal dari segi pengendalian dan mesti dalam keadaan kedap udara.


PRINSIP DAN KEPERLUAN ASAS MEMBUAT SILAJ

Prinsip utama dalam membuat silaj ialah memastikan keadaan yang kedap udara dan kandungan karbohidrat larut air yang mencukupi. Keadaan kedap udara diperolehi dengan memadatkan bahan tanaman dengan segera bagi mengelakkan berlakunya proses pereputan bahan hijau dan separa hijau yang memerlukan udara.

Foder yang mempunyai bahan kering lebih daripada 35 % akan menyebabkan keadaan silaj menjadi kurang mampat dan ini akan menggalakkan pertumbuhan kulat. Bagi foder yang terlalu lembap (kurang 25% bahan kering) pula akan menghasilkan silaj yang masam, disamping kehilangan air dan nutrien yang banyak. Keperluan air ialah 65 – 75 % (25 – 35% bahan kering). Masa yang sesuai untuk mendapatkan kandungan air pada peratus tertentu bergantung kepada jenis tanaman. Foraj jagung perlu dipotong semasa berumur 75 hari manakala rumput gajah pula hendaklah dipotong pada umur tidak melebihi 40 hari.


KAEDAH MEMBUAT SILAJ

Foder untuk silaj hendaklah dipotong pendek di antara 3 – 15 cm supaya mudah dipadatkan. Foder di dalam silo hendaklah dipadatkan dengan secepat mungkin dalam masa dua hari selepas dipotong bagi menghindarkan udara daripada terperangkap. Keadaan ini mengurangkan pernafasan sel dan aktiviti enzim. Foder yang telah dipadatkan hendaklah diperam selama sebulan bagi menghasilkan silaj yang baik. Silaj yang baik boleh disimpan bertahun-tahun lamanya jika tidak diganggu.

Bahan silaj yang mengandungi kurang karbohidrat perlu ditambah dengan asid bukan organik (sulfuric, hidroklorik, fosforik) atau boleh juga menggunakan asid organik (formic, propionik) tetapi bahan-bahan tersebut sangat mahal. Untuk mengurangkan kos pengeluaran silaj, ianya boleh dicampur dengan jenis-jenis karbohidrat yang boleh di dapati dengan lebih murah seperti molas dan bijirin.

Semasa proses pemeraman perubahan bahan kepada produk tertentu dalam silaj akan berlaku. Secara am, karbohidrat dalam bahan hijau/segar yang diperam ditukarkan menjadi asid laktik atau asetik. Proses penukaran dilakukan oleh bakteria anaerobik dengan bantuan haba yang dihasilkan oleh sel tanaman yang masih hidup. Asid-asid yang dikeluarkan, terutamanya asid laktik akan merendahkan pH dan ini menyebabkan proses biokimia yang terjadi pada bahan silaj terhenti. Dengan ini bahan yang diperam akan dapat disimpan dengan baik dan kualiti pemakanannya dapat dikekalkan.

Bersambung....


Al Islah Agro Farm
Bersama Islah Membina Kecemerlangan

Friday, July 4, 2008

Kursus Penternakan Kambing Boer

Assalamualaikum wbt.,

'Tuntutlah Ilmu sampai ke Negara China'.
'Menuntut Ilmu adalah wajib atas semua umat Islam'
'Tuntutlah Ilmu dari buaian hingga ke liang lahat'

Itulah antara ayat-ayat yang kita selalu dengar tentang tuntutan menuntut ilmu yang pelbagai di atas muka bumi yang dicipta oleh Allah SWT.

Alhamdulillah, dengan izin Allah SWT dapatlah aku mengikuti Kursus Penternakan Kambing Boer yang dijalankan di MARDI Serdang, Selangor. Kursus yang memakan masa selama 4 hari penuh iaitu pada 16-19 Jun 2008. Berbagai ilmu tentang kambing secara teori & praktikal telah dicurahkan oleh pakar-pakar dari MARDI. Terima kasih & halalkan ilmu tersebut.

Terima kasih juga kepada sahabat aku yang telah mengusahakan aku untuk turut serta dalam kursus tersebut. Seramai 30 orang telah bersama-sama aku berkursus pada tarikh tersebut.

Antara ilmu-ilmu yang dipelajari :
  • Hari Pertama
  • Pengenalan Industri Penternakan Kambing
  • Baka-baka & Pemilihan untuk Pembakaan Terkini
  • Fisiologi & Teknik-teknik Pembiakan Terkini
  • Demonstrasi & Teknik-teknik Pembiakan Terkini
  • Makanan & Pemakanan Kambing

  • Hari Kedua
  • Penuaian & Pemprosesan Kambing Pedaging
  • Amali : Penuaian Daging Kambing
  • Amali : Pemprosesan Blok Multinutrien - Urea Molases
  • Amali : Pengenalan Sumber Makanan & Pemprosesan
  • Pengurusan & Sistem Pemeliharaan Kambing
  • Hari Ketiga
  • Lawatan ke Ladang Ternakan
  • Kemudahan Pembiayaan Bank
  • Hari Keempat
  • Kesihatan & Pemgawalan Penyakit
  • Pemprosesan Bahan Kumuhan Pepejal Kambing Sebagai Baja Organik
  • Ekonomi Pengeluaran Kambing

Itulah serba ringkas kandungan kursus tersebut. Berikut sedikit foto semasa kursus...



Teknik untuk mendapatkan Air Mani Kambing Jantan untuk kaedah AI.



Cara melapah kambing



Cara membuat Blok Multinutrien-Urea Molases



Cara membuat Silaj

Semoga ada manfaat.

Al Islah Agro farm
Bersama Islah Membina Kecemerlangan

Tuesday, July 1, 2008

Tanah oh tanah

Assalamualaikum wbt.,

Berita terkini Al Islah Agro Farm, Alhamdulillah kami telah mendapatkan sebidang tanah seluas 6 ekar di Bentong, Pahang Darul Makmur.

Kini proses memg'clear'kan tanah sedang dilakukan. Ini akan memakan masa beberapa minggu. InsyaAllah beberapa perancangan telah difikirkan untuk diusahakan tanah tersebut. Sebahagian darinya akan digunakan untuk ternakan ikan air tawar.

Semoga Allah memudahkan urusan kami & sahabat-sahabat semua. Doakan kami.

Al Islah Agro Farm
Bersama Islah Membina Kecemerlangan